3 Hal Penting Kenapa Kita Merayakan Krismas

“Artikel asal ditulis dan disiarkan pada 24/12/2017”

Hari Krismas mula dirayakan pada 25 Disember 336 sewaktu pemerintahan Raja Constantine di Roma yang kebetulan merupakan Raja Roma pertama yang beragama Kristian. Ia dirayakan bagi memperingati kelahiran Yesus Kristus ke dunia.

Semenjak itu, seluruh dunia mula meraikan Krismas pada tanggal 25 Disember setiap tahun. Ia merupakan satu perayaan keagaaman yang signifikan kepada pengganut agama Kristian dan juga turut diraikan bersama oleh penduduk dunia yang lain

Bagi Dunia, perayaan hari Krismas tidak ubah seperti perayaan lain, dimana sukacita dapat dilihat dengan adanya perhiasan-perhiasan indah, lampu-lampu berwarna warni, gambaran santa Klaus bersama hadiah dan bermacam-macam lagi.

Namun begitu disebalik kemeriahan dunia, ada mesej jelas yang ingin Tuhan sampaikan kepada umat manusia lewat kelahiran anak-Nya yang tunggal iaitu Yesus Kristus.Jika dilihat dari perkataan CHRISTMAS, ia diambil dari perkataan “Christ” yang merujuk kepada Yesus Kristus dan juga “Mas” (dari perkataan MASS) iaitu satu pertemuan atau persekutuan yang dihadiri oleh ramai golongan orang yang percaya.

Bagi orang yang percaya kepada Yesus Kristus (bukan hanya sekadar mengaku diri orang Kristian atau beragama Kristian), merayakan Krismas merupakan satu persekutuan bersama bagi memperingati Kelahiran Tuhan Yesus.

Ada 3 Hal Yang Sangat Signifikan Dengan Krismas

3 Sebab Kenapa Kita Menyambut Hari Krismas

Kelahiran Yesus boleh dirujuk dalam injil “Matthew 1: 18 – 23”

Bagi orang yang percaya, Yesus Kristus merupakan anak Allah yang telah turun ke dunia. Yesus dilahirkan secara roh kudus lewat Maria yang merupakan seorang gadis sunti tunangan Yosua. Yosua merupakan keturunan Abraham dan Raja Daud.

Kelahiran Yesus memberi Keselamatan yang Kekal bagi orang yang percaya seperti yang sudah tertulis di dalam Yohanes 3: 16 “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah MENGARUNIAKAN Anak-Nya yang TUNGGAL, supaya setiap orang yang PERCAYA kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal”

Wow..sungguh hebat. Jika saudara perhatikan, Allah tidak berfirman ‘supaya setiap orang KRISTIAN tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal’. Menjadi Kristian atau beragama Kristian tidak akan memberi kita keselamatan, pergi ke Gereja, berbuat baik belum tentu akan masuk ke syurga sebaliknya Allah hanya berfirman “supaya setiap orang yang PERCAYA!  Orang yang PERCAYA akan melakukan hal yang berkenaan di mata Tuhan, dan akan menjadi anak yang Takut akan Tuhan.

Bagi orang yang percaya kepada Yesus Kristus, dia adalah satu-satunya Jalan ke Syurga. Tidak ada cara bahkan agama lain yang mengatakan dengan tepat bagaimana seseorang dapat datang kepada Allah Bapa di Syurga. Tetapi Yesus telah berbicara dengan jelas di dalam Yohanes 14: 6 Kata Yesus kepadanya; “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku”

Oleh yang demikian, orang yang percaya akan merasa sukacita dengan memperingati kelahiran Yesus Kristus dan meraikan Christmas secara rohaniah dan bukannya sebagaimana dunia yang tidak mengenal Yesus.

Dalam kitab Kejadian, Allah sudah bernubuat akan kelahiran Yesus Kristus. Nubuatan itu tertulis dalam Kejadian 1: 46 “Tongkat kerajaan tidak akan beranjak dari Yehuda ataupun lambang pemerintahan dari antara kakinya, sampai dia datang yang berhak atasnya, maka kepadanya akan takhluk bangsa-bangsa”

Selain itu nubuatan kelahiran Yesus juga sudah tertulis di dalam dalam Mikha 5: 1 – 3 “Tetapi engkau, hai Betlehem Efrata, hai yang terkecil di antara kaum-kaum Yehuda, dari padamu akan bangkit bagi-Ku seorang yang akan memerintah Israel, yang permulaannya sudah sejak purbakala, sejak dahulu kala. Sebab itu ia akan membiarkan mereka sampai waktu perempuan yang akan melahirkan telah melahirkan, lalu selebihnya dari saudara-saudaranya akan kembali kepada orang Israel”

Yesaya 9: 5 “Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita, lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebutkan orang; Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai”

Sebagai orang yang percaya, kita layak untuk bersukacita dan memperingati akan kebaikan Allah Bapa di Syurga kerana telah menggenapi janji-Nya untuk memberi keselamatan kepada kita lewat kelahiran Yesus Kristus dan kita sambut Hari Krismas bagi mengingati kelahiran Yesus.

Ada satu hal penting kenapa setiap orang yang percaya harus merasa sukacita kerana kelahiran Yesus Kristus adalah kerana Dia juga disebut “Immanuel”. Yesaya 7:14 dan juga Matthew 1: 23 “Sesungguhnya, anak dara itu akan mengandung dan melahirkan seorang anak laki-laki, dan mereka akan menamakan Dia Immanuel”- yang berarti: Allah menyertai kita”

Wow hebatkan, Allah telah berfirman bahawa Dia akan menyertai kita. Allah tidak berfirman Dia akan menyertai kita diwaktu kita senang, disaat kita percaya kepada Tuhan, atau disaat kita sering datang mencari Tuhan. Sebaliknya Allah berfirman bahawa “Allah menyertai kita” yang bererti Dia akan menyertai kita sentiasa, baik disaat kita susah, saat kita berdukacita, saat kita sakit, tidak punya wang, tak punya makanan, diwaktu seolah seluruh dunia seakan-akan menolak kita, BERBAHAGIALAH kerana Allah ada menyertai kita. Diwaktu kita gembira, ketika kita punya segala apa yang kita inginkan, Tuhan juga ada beserta kita. Bahkan disaat kita jatuh dan melakukan DOSA, Allah ada bersama kita, dia siap untuk menopang dan menuntun kita ke jalan yang benar, agar tidak terlewat bagi kita mendapat pengampunan dan hidup yang kekal.

Original Sharing by 'Ps Andy Anyi, Snr Ps BEM On The Rock, Miri' (Edited by ALS)

Selamat Hari Natal, Selamat Ari Krismas, Kotobian Tadau Krismas, Merry Christmas and Happy New Year

Nah, bukankah Christmas itu indah? Jika anda orang yang percaya dan Takut akan Tuhan, raikanlah Krismas dengan cara syurgawi, jadilah saluran berkat bagi orang yang belum mengenal Yesus. Sampaikan khabar baik kelahiran Yesus lewat apa cara pun. Jangan jadi sama seperti dunia, meraikan X-Mas tanpa Christ.