Baik BN atau PH kedua-kedua pakatan parti ini memerlukan sokongan padu rakyat di Sabah & Sarawak untuk menguasai Putrajaya. 31 kerusi Parlimen terletak di Sarawak & 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Sebagaimana diuar-uarkan di media massa, kebanyakan pengundi di Malaysia Barat seolah-olah telah beralih sokongan kepada PH disebabkan telah bosan dengan cara pemerintahan BN. Begitu juga tidak kurang hebatnya sokongan rakyat kepada gabungan parti PH & WARISAN di Sabah.
Mengikut senarai pemilih setakat Suku ke empat 2017 yang diwartakan oleh SPR, Sarawak mempunyai kira-kira 1.22 juta pengundi dan kebanyakan pengundi tersebut merupakan golongan dewasa atau orang tua. Ini disahkan oleh Pengerusi SPR Malaysia yang mengatakan seramai 500k+ pengundi muda yang layak mengundi di Sarawak tidak mendaftar sebagai pengundi.
Jika dilihat dari sokongan semasa sewaktu penamaan calon, Gelombang Biru Tua masih menguasai Sarawak. Kebanyakan masyarakat bumiputera lebih-lebih lagi golongan pengundi lama masih selesa di bawah pimpinan BN.
PRU14 Sarawak menjadi penyelamat Barisan Nasional?
Harus diingat, golongan pengundi lama lebih-lebih lagi bagi kerusi pedalaman, minda mereka sudah lama disemai dengan pemikiran bahawa parti BN adalah kerajaan dan kerajaan adalah BN. Pengundi ini sudah dididik sejak sekian lama dengan falsafah “Anang Ngelaban Perintah” atau jangan menentang Kerajaan.
Jika PH ingin memenangi hati pengundi lama di Sarawak, mahu atau tidak mereka mesti mengikut strategi parti BN. Ini kerana isu-isu national seperti 1MBD, GST, Hutang Negara yang hampir mencecah 1 Trillion & bermacam lagi tidak memberi kesan yang besar kepada pengundi lama lebih-lebih lagi yang berada di pedalaman.
Untuk memenangi hati pengundi lama ini, PH harus mengikut corak pendekatan BN. Calon atau parti PH harus mendekati pengundi secara berdekatan, membantu keperluan asas yang diperlukan. Sebagai contoh jika BN memberi sumbangan Tong Biru, PH pun harus bagi Tong Biru, jika BN bagi atap zink Biru, PH pun kena bagi atap zink Biru. Mahu atau tidak itulah kenyataan politik di Sarawak sejak dahulu dan buat masa ini.
Jika dilihat di laman sosial, ramai anak muda yang menentang kepimpinan BN tetapi harus diingat, 31% pengundi muda atau berjumlah lebih setengah juta belum mendaftar sebagai pengundi. So ia tidak memberi kesan yang besar kepada BN untuk mengekalkan pencapaian cemerlang sewaktu PRU13, malah PH berkemungkinan akan kehilangan kerusi mereka pada PRU14. Antara kerusi yang tidak selamat bagi PH seperti Parlimen Miri & juga Sibu. Bagi penyandang Parlimen Miri, Dr Teo, umum tahu performance beliau sebagai wakil rakyat di parlimen dan juga di kawasan Miri agak mengecewakan, bahkan ramai juga pengundi PH sebelum ini di Miri menyuarakan ketidakpuasan hati mereka tentang pencalonan semula Dr Teo, ditambah lagi beliau akan menentang calon BN yang diketahui berjiwa rakyat Datuk Sebastian Ting, tidak mustahil jika Miri akan jatuh kembali kepada BN. Begitu juga dengan Sibu, pencalonan Anak Presiden UPP, Datuk Andrew Wong mungkin dapat menyatukan perpecahan undi dikalangan penyokong UPP dan SUPP di Sibu dan ini memberi kelebihan yang besar kepada BN. Harus juga diingat, kedua-dua kawasan Parlimen ini dimenangi oleh pencabar BN pada PRU13 dengan majoriti yang kecil.
Apa Nasib Dayak / Iban selepas PRU14?
Tiada perbezaan ketara baik dari segi ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, bahkan polisi maker di jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain. Ini kerana walaupun masyarakat Iban / Dayak merupakan kaum majoriti di Sarawak yang berjumlah lebih daripada 713,000 penduduk, namun mengikut statistik SPR tahun 2016, jumlah kaum Dayak/Iban yang layak mengundi hanya sekitar 306,000, manakala kaum Cina mempunyai jumlah pengundi berdaftar sekitar 365,000 pengundi walaupun jumlah penduduk Cina di Sarawak hanya sekitar 577,000 manakala jumlah pengundi dari suku Melayu/Melanau sekitar 304,000 dari jumlah populasi penduduk seramai lebih kurang 690,00.
Secara jujur saya katakan masyarakat Iban/Dayak tidak mempunyai “bargain power” untuk menentukan parti yang akan memerintah, ini menjadikan mereka sebagai Fix Deposit kepada BN. Bila mereka tidak mempunyai power untuk menentukan kuasa politik di Negeri mereka sendiri, apalagi yang mereka boleh harapkan untuk membantu mengembangkan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan bahkan polisi maker yang memihak kepada masyarakat Iban atau Dayak? Jika bangsa ini ingin suara mereka di dengar mahu atau tidak, golongan muda yang sudah layak untuk mengundi harus mendaftar sebagai pemilih. Tidak kira parti apapun pilihan mereka, suara mereka akan lebih didengar apabila mereka menjadi penentu kepada kuasa yang akan memerintah negeri atau negara. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih percaya golongan pengundi lama dari masyarakat ini akan menjadi Fix Deposit kepada BN.
Apa itu Fix Deposit?
Jika soalan ini ditanya kepada pengundi lama lebih-lebih lagi di pedalaman mungkin ramai diantara mereka tidak faham apa maksud Fix Deposit. Kalau dilihat dari segi kewangan, Fix Deposit kerap kita dengar sebagai Simpanan Tetap dan selamat dimana pelabur dijanjikan pulangan atau kadar faedah yang agak rendah disebabkan pelaburan yang berisiko rendah. Bila diterjemah kepada bentuk undi, seperti yang kerap diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak (kini Perdana Menteri Sementara setelah Parlimen dibubarkan pada 7/04/2018),dan diakuai oleh Ketua Menteri & Timbalan Ketua Menteri Sarawak bahawa Sabah dan Sarawak merupakan Fix Deposit kepada BN. So secara taktikal, negeri ini memang akan menyokong BN walaupun dengan pelaburan yang minimum. Dalam bahasa mudah, guaranty return.Enda ibuh diberi projek, enda ibuh diberi pemansang sigi confirm sida ia ngundi Barisan Nasional 🙂 Lebih kurang begitulah realitinya.
Kalau saya sebagai PM sekalipun, kenapa saya perlu melabur di negeri yang pasti akan memberikan kemenangan kepada parti pimpinan saya, lebih baik saya tumpukan pelaburan di negeri yang menentang atau tidak menyokong saya, dengan berbuat demikian saya akan berharap pengundi akan beralih arah dan memberikan sokongan kepada parti pimpinan saya. Sebab itu jika dilihat dari segi pembangunan tidak dinafikan Sabah & Sarawak jauh ketinggalan dari rakan kita di Malaysia Barat. Sedangkan Sabah & Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber semulajadi seperti minyak dan gas dan juga kayu balak. Tapi sayangnya, penduduk di kedua-dua negeri ini memilih untuk menyerahkan 95% hak kepada Kerajaan Pusat dan kemudian menagih kembali pembangunan daripada Kerajaan Pusat.
Pasca 9/05/2018
Jika dilihat daripada sokongan pengundi lama di Sarawak, ada dua scenario yang akan berlaku selepas PRU14 pada 9/05/2018. Scenario pertama, pengundi lama di Sarawak akan membantu parti Barisan Nasional mengekalkan Putrajaya dengan menyumbangkan kerusi terbanyak kepada BN. Rakyat akan kembali hidup seperti biasa, kedengaran ramai suara yang merungut dengan kenaikan harga barang disebabkan GST, kereta akan berpusu-pusu menuju stesen minyak setiap malam Selasa dengan harapan dapat menjimatkan beberapa sen sebelum minyak dinaikkan menjelang tengah malam Rabu. Akan kedengaran suara-suara sumbang rakyat muda yang mengatakan kerajaan tidak memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, bahkan hanya segelintir rakyat Sarawak yang bekerja di Pejabat Petronas dan Shell baik di Miri ataupun di Bintulu, begitu juga kakitangan awam, majority yang berpangkat besar dari seberang. Jika hal tersebut berlaku jangan disalahkan pengundi-pengundi lama yang membuat pilihan.
Scenario kedua, dengan bentuk pola pengundi yang tidak banyak perubahan, pengundi-pengundi lama di Sarawak akan terus menyumbangkan kerusi terbanyak kepada BN, namun diperingkat nasional, BN tidak dapat mempertahankan penguasaan mereka dan Pakatan Harapan mampu menawan Putrajaya, maka Sarawak akan menjadi negeri Pembangkang terbesar di Malaysia. Kehidupan rakyat juga tidak banyak perubahan, mungkin lanskap politik akan berubah sedikit dalam tempoh 5 tahun akan datang. Yang pasti kedua-dua pihak samada BN atau PH terpaksa bekerja keras untuk membangunkan Sarawak bagi memenangi hati pengundi pada PRU15 akan datang.
Kesedaran Politik Masih Lemah?
Apakah benar kesedaran politik secara amnya bagi masyarakat di Sarawak masih lemah? Jika dilihat di negara-negara maju, rakyat akan memilih calon atau parti yang boleh berjuang untuk membawa pembangunan, berlaku adil dan berupaya untuk meningkatkan keadaan ekonomi negara, memberikan pendidikan yang terbaik kepada rakyat. Berbeza dengan keadaan politik di Sarawak, pengundi-pengundi lama masih mengutamakan calon atau parti yang boleh mendekati pengundi, calon yang boleh hadir di majlis perkahwinan atau kematian, yang boleh berjabat tangan dengan pengundi setiap hari tak kisah jika ahli Parlimen tersebut duduk diam dan membisu di Parlimen untuk membangkitkan permasalahan rakyat, menegur kepimpinan dan pengurusan harta negara yang pincang, menegakkan sistem keadilan untuk rakyat dan sebagainya. Jika dilihat daripada senarai pengundi muda yang belum mendaftar, ini mungkin mengesahkan kesedaran rakyat di Sarawak tentang betapa pentingnya hak mereka menentukan sesebuah kerajaan adalah amat penting. Kerap kali ditanya antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah ‘ngai kiruh ngau politik’ atau ‘tak mahu sibuk dengan politik’. Jawapan sebegini mengesahkan kekeliruan mereka tentang Politik dan Hak Rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sebagai pengundi, secara tidak langsung golongan ini menafikan hak mereka sendiri untuk memilih kerajaan.
Apapun keputusan PRU14 akan datang, hidup harus diteruskan. Secara peribadi saya tidak menyokong mana-mana parti politik baik BN ataupun PH. Saya tidak melihat kepada siapa calon, apa yang calon boleh bantu saya untuk meneruskan kehidupan secara peribadi. Sebaliknya saya memilih sebuah organizasi atau parti yang boleh menjalankan amanah yang diberi oleh rakyat untuk memerintah dengan adil, yang dapat membangunkan negara secara samarata baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, menyediakan peluang pekerjaan yang adil dan memberikan peluang kepada rakyat berdasarkan merit bukan semata-mata kerana bangsa dan agama, menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada anak-anak dan cucu kita.
Lima tahun atau 10 tahun akan datang, mungkin ramai diantara kita pengundi pada PRU14 sudah pulang ke tempat kekal kita baik di syurga atau neraka, pilihan kita pada 09/05/2018 akan menentukan masa depan anak, cucu, cicit dan generasi kita yang akan datang. Bagi mereka yang kaya, esok lusa mereka boleh berhijrah ke luar negara jika keadaan ekonomi semakin tenat, tapi kita rakyat biasa, akan terus merana menanggung segala beban hutang yang sedia ada dan besar kemungkinan akan makin berganda. Tidak kira parti manapun yang akan memerintah selepas PRU14, segala beban hutang negara yang hampir mencecah 1 Trillion akan dibayar bersama-sama oleh rakyat.
Selamat Mengundi
Selamat mengundi kepada semua yang layak mengundi, kepada yang tidak mendaftar sebagai pengundi dan sudah berumur 21 tahun ke atas, anda masih ada peluang untuk berbuat demikian dan bersama-sama menentukan kerajaan pada masa akan datang. Tidak kira parti mana pilihan anda, berpada-padalah untuk memberi sokongan, jangan sampai kerana pilihanraya kita bersengketa. Bagi ahli politik tiada istilah yang KEKAL dalam politik, hari ini kawan, esok boleh jadi lawan, hari ini lawan lusa boleh jadi kawan. Sebagai pengundi kita harus menggunakan kuasa yang ada sebaik-baiknya.
Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak dan selamat menikmati cuti umum pada 9/05/2018 kepada yang tak mengundi.