

Hari kedua berada di Bandung selepas bersarapan di Hotel, Pak Cacha menjemput kami sekeluarga sekitar pukul 10am untuk bertolak ke Tangkuban Parahu. Perjalanan dari Grand Pacific Hotel, Cicendo, Bandung, Indonesia tempat kami menginap ke Tangkuban Parahu mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit bergantung kepada keadaan traffic. Permandangan di sepanjang jalan ke Tangkuban Parahu di penuhi dengan rumah-rumah penduduk dan kedai-kedai yang menjual berbagai barangan.

Sebelum sampai di Tangkuban Parahu, Pak Cacha sempat berpesan kepada kami barangan kraftangan yang dijual di sana agak mahal malah boleh jadi sepuluh kali ganda dengan harga yang ditawarkan di tempat lain. Selain itu Pak Cacha juga mengingatkan kami sekiranya ditawarkan untuk berjalan menuruni cerun Tangkuban Parahu oleh pemandu pelancong, biayanya agak mahal iaitu sekitar RP400,00 dan perjalanan boleh mengambil masa lebih dari 30minit. Tidak sesuai untuk mereka yang bersama anak kecil.

Sewaktu sampai disana, ramai orang tempatan yang berkhidmat secara ‘freelance’ sebagai pemandu pelancong mengerumuni kami. Mereka menawarkan untuk membantu mengambil gambar & menerangkan sejarah Tangkuban Parahu. Kami sempat menyuruh mereka mengambil gambar kami sekeluarga. Untuk makluman mereka tidak meminta apa-apa bayaran bagi merakam gambar tapi diakhir lawatan kita mereka akan cuba memujuk kita untuk membeli kraftangan yang mereka jual. Sekiranya tidak mahu membeli kraftangan, kiranya kamu bermurah hati cukuplah bagi mereka tips kecil, pasti akan membuatkan mereka gembira.


Kopi Luwak merupakan produk asli Indonesia, dimana buah kopi akan diberi makan kepada Luwak (Musang). Selepas itu, buah kopi yang sudah dimakan oleh Luwak dan dikeluarkan dari perut Luwak ketika membuang air dan akan diproses menjadi serbuk kopi. Kami diterangkan segala process pembuatan Kopi Luwak oleh pekerja disini, malah sempat juga menikmati Kopi Luwak.

Kemudian kami meneruskan perjalanan turun dan singgah di Floating Market Lembang. Ini merupakan salah satu destinasi perlancongan yang terdapat di Bandung dan merupakan satu-satunya market yang terapung diatas tasik di sekitar Bandung. Bagi mereka yang ingin mencuba menaiki perahu atau aktiviti air yang lain, anda boleh cuba di sini. Harga tiket pun agak berbaloi. Kami tidak sempat menaiki perahu disebabkan kesuntukan masa. Kedai kraftangan pun banyak terdapat disini, pasti berbaloi sekiranya ingin membeli ole-ole untuk kenangan dari Floating Market Lembang.

Kami juga sempat singgah di Farmhouse Susu Lembang atau lebih dikenali sebagai “Rumah Hobbit”. Anda boleh menukar tiket masuk yang berharga RP20,000 seorang dengan minuman susu disini. Jika anda peminat cerita Hobbit, jangan lepaskan peluang untuk singgah disini. Malah ada mini zoo juga, anak-anak pasti gembira memberi arnab atau kambing biri-biri makan.



Kemudian Pak Cacha menghantar kami dinner ke Mayasari Cafe yang terletak di seberang Station Keretapi Bandung. Sewaktu kami sampai disini, ada ramai pelanggan dari Malaysia yang sedang menikmati makan malam disini. Malah ada satu keluarga dari Malaysia yang meraikan harijadi anak mereka disini dan mereka sempat memberi kek harijadi kepada anak-anak saya. Makan malam di Mayasari Cafe mengakhiri lawatan kami untuk hari kedua, kami sampai dihotel sekitar pukul 10 malam waktu tempatan.
Ok itu saja cerita hari kedua, nantikan apa pula kisah di hari ketiga ya.