Nami Island dan Petite France merupakan agenda lawatan kami pada hari kedua. Bagi memudahkan serta menjimatkan masa, kami membuat keputusan untuk menaiki Tour Bus yang telah saya tempah terlebih dahulu. Bagi yang berkunjung ke Seoul, adalah menjadi kewajipan untuk pergi ke Nami Island yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi. Sambil itu, anda boleh juga singgah di Petite France dalam perjalanan ke Nami Island.
Tour Bus ini berhenti mengambil penumpang di hadapan Prince Hotel untuk yang menunggu di Myeongdong Station. Selain daripada Myeongdong, Tour Bus ini juga berhenti di Dongdaemun History Station dan Hongik University Station. Kelebihan menggunakan Tour Bus ini, anda boleh menjimatkan masa dan perjalanan juga lebih lancar. Harga promosi jika anda tempah DISINI lebih kurang USD35.50 untuk dewasa dan USD32 untuk kanak-kanak. Harga tersebut termasuk pengangkutan dan tiket masuk ke dalam Petite France dan juga Nami Island. Kami bertolak dari Myeongdong Station pukul 8.05am dan berhenti mengambil penumpang di Dongdaemun History Station sebelum berangkat menuju Petite France pada pukul 8.15am dan sampai di Petite France lebih kurang pukul 0920hrs.
Petite France
Sewaktu kami tiba di Petite France, belum ramai pelancong yang tiba, namun lebih kurang 20 minit kemudian, ada beberapa buah Tour Bus lain yang tiba. Petite France merupakan Little France yang diilhamkan oleh seorang peniaga yang kerap melancong ke Perancis. Kerana jatuh cinta dengan keunikan dan keindahan negara Perancis, maka beliau mendapat idea untuk membina Little France di Seoul.
Tempat ini tidak terlalu besar, jika anda bercadang untuk datang ke sini, cukup sekadar meluangkan masa dalam 1 – 2 jam untuk mengambil gambar dan menyaksikan persembahan yang terdapat disini. Restaurant juga terdapat di sini, manakala kedai (Mart) terletak diseberang jalan menuju ke pintu masuk Petite France.
Nami Island
Kemudian kami bertolak ke Nami Island dari Petite France dalam pukul 11am dan sampai di Terminal Ferry Nami Island lebih kurang pukul 11.25am
Selepas mendapat tiket ferry, kami berangkat ke Nami Island. Perjalanan ke Nami Island menggunakan ferry mengambil masa lebih kurang 15 minit. Jika anda penggemar aktiviti lasak dan ingin mencuba Zipline, anda boleh pergi ke Nami Island menggunakan Zipline juga. Ia mengambil masa kurang daripada 3 minit untuk sampai ke Nami Island. Anda boleh beli tiket di kaunter Zipline/Zipwire berhampiran dengan Terminal Ferry. Harga tiket untuk Zipline ialah 30,000 won atau lebih kurang RM110.00
Apa yang menarik tentang Nami Island ni? Bagi peminat filem romantic Winter Sonata, pulau ini merupakan salah satu set pengambaran untuk filem tersebut. Anda boleh bergambar di salah satu set atau kerusi dimana salah satu babak filem tersebut dirakamkan. Terdapat juga munural atau patung pelakon Winter Sonata yang didirikan di Nami Island
Selain daripada itu, Nami Island memang terkenal dengan keindahan alam semulajadi dengan pokok-pokok dan bunga-bunga yang terdapat di sini. Pasti sangat menarik dan cantik untuk merakamkan gambar.
Jika anda malas untuk berjalan, terdapat juga basikal untuk disewa bagi anda yang ingin mengelilingi Nami Island menggunakan basikal. Sekiranya bayi anda memerlukan stroller, ada juga stroller yang disewakan untuk kegunaan bayi berusia 24 bulan ke bawah.
Persembahan budaya juga sering diadakan disini. Antara tempat-tempat yang anda boleh kunjungi untuk menyaksikan persembahan ini seperti UNICEF Eco Stage, O Stage, Outdoor swimming pool (Water Garden), Magic Hall, Under Stage, Belgrade Stage, Free Stage.
Jika anda lapar, tak perlu risau, ada beberapa restaurant yang menyajikan makanan tempatan dan western food terdapat disini. Bagi yang memerlukan makanan Halal anda boleh pergi ke Asian Family Restaurant Dongmun.Selain itu, surau juga disediakan bagi yang memerlukan.
Basically, anda boleh luangkan masa lebih kurang 3 – 5 jam di Nami Island bergantung dengan aktiviti yang ingin anda lakukan. Jika anda pergi menggunakan Tour Bus, pastikan anda menaiki ferry untuk kembali ke daratan pada waktu yang telah ditetapkan. Takut nanti tertinggal bas pula.
Kami beredar daripada Nami Island menggunakan Ferry pukul 3pm dan sampai di daratan lebih kurang 15 minit kemudian. Selepas itu, bas kami bertolak dari Terminal Ferry Nami Island pada pukul 3pm untuk kembali ke Seoul.