Bermula 1 Januari 2018 nanti, semua penumpang ke destinasi antarabangsa selain negara Asean melalui KLIA2 terpaksa membayar RM23 lebih mahal daripada caj sebelum ini.
Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini, kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi destinasi penerbangan antarabangsa selain ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan dinaikkan kepada RM73 daripada RM50.
Namun begitu PSC bagi pelepasan ASEAN diselaraskan kepada tahap lebih rendah, iaitu RM35 yang memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.
MAVCOM dalam satu kenyataannya berkata, penetapan semakan semula kadar baharu bagi klia2 itu bertujuan untuk kesamarataan kadar PSC bagi semua lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, ia menjejaki pengumuman semakan semula PSC pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan hanya klia2 memiliki kadar PSC bagi penerbangan destinasi antarabangsa selain ASEAN yang lebih rendah berbanding lapangan terbang lain di Malaysia.
“Bermula 1 Januari ini, kadar PSC bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 akan dikenakan sebanyak RM73, iaitu kadar yang sama dengan lapangan terbang lain di negara ini; kadar PSC lain tiada perubahan.
“Kadar baharu PSC akan kenakan bagi tiket yang dikeluarkan bermula 1 Januari tahun depan, manakala tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh terbabit tidak akan dikenakan kadar baharu walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018,” katanya di sini, hari ini.
MAVCOM berkata, walaupun dengan pindaan terbaharu itu kadar PSC di Malaysia kekal antara terendah di dunia.
Katanya, kadar baharu itu adalah hasil penilaian semakan Suruhanjaya pada awal tahun ini dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri.
“Pengumuman ini melengkapkan proses penyamarataan PSC yang dijalankan secara berperingkat di klia2 dengan lapangan terbang Malaysia yang lain,” katanya.